Sabtu, 2 Februari 2013

Teliti.



Dalam fikiran dia teliti itu maknanya mengamati. 

**
Dua tiga hari ini serta selang beberapa hari selepas aku tamat kertas peperiksaan akhir semester pertama, selalu. Selalu aku nampak kelibat kelibat manusia yang berwajah iras dalam kehidupan seharianku.

Malah, ada seketikanya, dalam sehari boleh ku bilang dua hingga tiga orang yang berwajah serupa. Ingin ku tegur, ingin ku sapa tapi ah biar segan di dada asal tak segan penyudah hari.

Kisah dua tiga hari lalu dan seminggu lalu. Tentang jawapan, masih tidak cukup. Tidak cukup jawapan untuk kerunsingan ini. 

Terkadang ada jua aku terfikir, 

''Eh, kenapa dirisaukan hal hal semasa atau diberatkan lencongan minda; semata mata manusia manusia yang tidak dikenal pucuk pangkalnya?''

Dan selalunya;

Yang ditaip direnung sejenak, disemak berkali kali kali,
yang ditutur, mulanya puas merasa habis dihembur;
terkemudian?
kesal bertandang, sudah habis istighfar masih terasa banyaknya dosa; 
kerdil.
yang terlepas, jasad yang konon pantang takkan berundur; 
Oh, mengalah dan mengeluh!
Pengakhirannya?
Ini semua teliti atau terlebih mengamati?

Dan teringat pula aku suatu kisah. Kisah yang bertandang sewaktu telinga dihulur talipon bimbit Nokia versi lama. Berbicara sama kakak. Tertanya tanya, siapa pula akan menjemput anak perempuan nombor tiga dalam enam beradik ini.

''Mak dekat mana? Kita nak cakap kejap.''

"Mak balik kampung, ada makcik depan rumah Wan (arwah) meninggal dunia.''

''Ha? Yang manaa...''

''Yang depan rumah, rumah belah kiri.''

Talipon diletak, minda digasak.

''Ha!''

Kisah makcik ini yang ku kira pernah diceritakan oleh emak sewaktu aku di dapur bersama sama. Kata emak, jangan diikutkan sangat hati. Sebabnya ada kisah tentang insan yang terlalu teliti, teliti dengan sekeliling, teliti dalam banyak perkara. Hinggakan..

**
''Dia duduk keseorangan. Jika tidak silap, saban waktunya gemar diisi mengemas rumah. Rajin itu memang bagus, lagi lagi teliti mana yang patut dikemas, bila masa mengemas tapi..''

''Tapi apanya mak?''

Dibalik jawapan akhir mak, buat aku terkedu jugalah.

''Teliti sampai sabun ada tiga buku di sinki, satu untuk membasuh tangan, satu untuk tugas dijadikan agen pencuci selepas basuh pinggan..''

''Lagi mak?''

''Kalau jatuh satu sabun, buang, ambil sabun baru! Teliti pada kuman!''

**
Kalau sedemikian taksubnya manusia terhadap sekeliling, hingga kuman pun diteliti, sudah aku fikirkan, lebih baik ku teliti akan hal hal yang sepatutnya sahaja. Dan bukan pada segenap perkara harus ku teliti; teliti pada hakiki berbalik pada realiti. Teliti?