Selasa, 26 Mac 2013

Ada apa pada nama?



Memandang wajah asing, merungut paling dalam. Perut sudah kenyang. Kenyang dengan makanan ciput yang dibayar lebih. Ringgit Malaysia dua perpuluhan lima sifar untuk jagung masin bersaiz cawan. Kecil sahaja berserta tambahan dua puluh sen untuk sesudu pekat manis. Masin dan manis bertemu, melawan deria rasa. Enak? Bolehlah.

Nelson. Sekadar nama namun luar biasa mencekik darahnya. Benci bentak hati. Usai menelan segala dia disapa,

''Dik, kedai di sini mahalkan?"

Ada wajah asing yang menegur. Wajah sahaja asing namun bukanlah bangsanya dan agamanya. Sama sepertiku. Perwatakan, Melayu, lelaki bekerjaya, berusia lingkungan 50-an. Wajah aku yang penuh curiga, namun terjawab juga persoalan yang sama. Sama seperti aku bangkitkan dalam hati, tentang mahalnya harga.
Dia ku pasti, yakin ingin ku tahu kisah mahal yang dia cakna: Mahal antara kita.

"Pak cik beli teh tarik ni..'' lantas dia sua kertas minuman cawannya padaku. Tinggal suku.

Alahai sikitnya! Kecilnya cawan! Hanya itu mampu digumam sendiri. Kasihan!

Sekadar kertas cawan bersaiz sama dengan jagung yang aku beli sebentar tadi. Mana keistimewaannya? Nah! Pada harga dua ringgit lima puluh sen untuk teh tarik itu dan tempelan lakaran bermotif grafik pada si cawan kertas. Sadis.

Mata terbuntang. Ya, segera aku faham. Belum sempat bicara, dia menyambung.

''Pak cik tak tahu harganya mahal...Ini kali pertama pak cik beli di sini.''

Aku pula yang jadi serba salah. Ya, serba salah jua. Mana taknya, dia orang luar yang terpaksa membayar harga mahal pada secawan air hangat pilihan. Jika ada papan tanda, itu dia...gerai-gerai pilihan lain ada menjual dengan harga yang jauh lebih murah dan sedap jua! Kiri dan kanan aku. Seringgit pula. Kisah bersambung.

"Haah, pak cik! Kedai di sini mahal! Kalau yang murah tuhhh gerai di sekitar ni..." Siap beraksi dengan lagak gaya seperti pemandu pelancong mungkin, ku halakan telunjuk jari, pada kiri dan kanan deretan kedai minuman pilihan. Dia tersenyum namun masih punya sugul. Sugul pada wajahnya.

Sebenarnya aku tertarik untuk tanyakan kisah selanjutnya. Apa sebab dia ke mari? Tunggu siapakah?

''Erm, pak cik ke mari tunggu siapa? Anak?'' Terluah soalan pilihan.

''Tak. Pak cik tunggu bos pak cik di sini. Ada kerja..''

Jadi telahan pertama tepat. Dia lelaki bekerjaya namun masih menjaga perihal ekonominya,tentang duit keluar masuk, makan pakai dan belanjawan semasa meski secawan teh tarik hangat. Kalau mahal tetap mahal! Mesti rungut itu hadir. Situasi sama seperti aku. Pada kami, dalam hati...mungkin kata kata ini yang bermain di minda,

Harga bukan pada jenama semata, kualiti kena ada, apatah lagi kuantiti kena selarilah. Tentang kisah air teh tarik.

''Adik asal mana?''

''Kajang, Selangor.''

''Oh, orang sini! Tahun berapa pengajian?''

''Tahun pertama, semester kedua. Degree.''

''Oh bagus! Ambil kursus apa?''

''Pengajian polisi, pak cik..'' Dengan senyuman melebar bisa aku beri, moga gundah dia terubat jua di hati. Tentang kursus pengajian, entah dia tahu atau tidak. Aha. Yang pasti, dia sudah tersenyum senyum, mungkin tanda dia ketahui apa itu bidang polisi. Mungkin.

Perbualan dimatikan bila aku pinta undur diri. Ucapan salam berbalas, lantas benak fikiran melayang perbualan seorang sahabat. Hampir sama situasi. Saat nama dan jenama konon mula dikenali semua, mahal jadi isunya. Dia bilang..

"Dunia semakin kejam, nasi semakin mahal.."

Jadi, ada apa pada nama eh?