Sabtu, 2 Jun 2012

Aku jumpa 'ini' dalam buku Ajaib



''Ilmu itu cahaya. Cahaya Allah tidak akan dapat kepada orang yang berbuat maksiat.''

''Sampai bila bayang-bayang akan lurus; jika kayu yang dipacak itu bengkok?'' - pepatah Arab berkata

''Dunia sekarang ini gawat dengan perkara-perkara kesenian dan hiburan yang lebih utama daripada hal-hal pendidikan. Riadah sukan lagi bernilai daripada riadah minda.'' -  keluh Dr. Yusuf Al-Qadrawi

''Orang yang pandai tahu makna bodoh; sebab dahulu dia pernah mencari bodoh... (atau sebaliknya)'' -mantan Tuan Pengetua (2009)
-------------------------------------------

Ya. Tadi aku godek-godekkan kotak kasut lama. Maaf. Bahasa paling mudah selongkar aku kira. Senyum kembali. Jadinya, selepas tekun aku menelaah semua semua khazanah lama yang aku simpalkan, aku terselak satu buku 'Ajaib' ini.

Ajaib? Apa yang ajaibnya bukan?

Haruslah aku gelarkan buku itu ajaib, meski 3 tahun sudah usia, namun selotep pencantum helaian kertas dan dua kulit depan dan belakang buku nota kecil itu masih setia pada kedudukan asalnya. Nah! Perkara kedua yang aku lebelkannya sebagai ajaib...adalah disebabkan aku suka akan isi kandungan. Banyak. Banyak nota rasmi dan tidak rasmi pernah aku catatkan ataubahasa paling agung buat anak anak muda yang jelik untuk menulis tika itu, kata mereka; ''Jom salin! Eh, moh conteng!'' Namun, yang paling menarik...banyak kata nasihat yang terbit. Dititipkan oleh Tuan Pengetua serta diulas oleh beliau dengan penuh imejan.

Ha ha ha. Sekejap. Tadi aku gelakkan diri kembali. Kalau dahulu kala, aku paling kurang rajin hendak menggendong buku kecil itu. Bukan payah sebenarnya, namun disebabkan takut diri diambil nama oleh badan pemantau yang rasmi berbiru warna mereka, mahu tidak mahu aku kendong. Arh, ini jujur. Ada masa itu yang aku fikir, ''Bismillah...biar lepas daripada mereka, biar lepas daripada ditanya; Mana buku 'Ajaib' itu?'' Itu memang reaksi utama, sewaktu mula mula aku terima 'perintah'.

''Anak-anak murid, jangan lupa catit!''

Kelat muka aku, aku jadi kaget. ''Apakah? Disuruh menaip catatan ringkas?'' Kemudiannya, suatu hari ketika, perhimpunan pagi di Dataran Uhud itu digegarkan.

''Murid-murid, minggu hadapan pada hari Isnin kita akan menerima Tuan Pengetua baru.''

Seketika kemudian, sebondong-bondong manusia yang usai off perhimpunannya sibuk ber-sok sek sok sek. Ramai yang sibuk menjadi pengacara jemputan Melodrama, gigih memikirkan personaliti utama Tuan Pengetua. Ada yang bertanya, ''Wah! Kenapa dia? Dia kan sudah terkenal di sana?'' Ada pula yang berbangga, ''Wah! Ini berita baik, Tuan bakal Pengetua memang dikagumi kepimpinannya! Aku dengar murid-murid di sana menangis! Marah dengan kita, sebab Tuan Pengetua bakal beralih ke tangan kita.''

Aha. Drama anak-anak muda memori cuba imbaskan. Dan...hari yang ditiba-tiba pun muncullah. Anak anak muda yang seperti kelazimannya datang lewat lewat ke sekolah lain pula peel mereka. Si Talib yang jaguh Rotan Subuh tiba dengan awal pada pagi itu. Ya, hari itu timbul sejarahnya. Aku pun. Aku jarang berbedak lama, ber-make up lawa lawa seperti hariannya. Pagi itu aku tempelkan lebih bedak muka Johnson&Johnson. Tudung yang baru sedikit aku sarungkan, kemudian berkobar-kobar kaki kanan aku hayunkan; diikuti kaki kiri.

Tuptaptuptap.

Kasut kulit hitam itu setia dengan kapur hitamnya, tuan punya badan berjalan. Kemudian, selepas rutin kira kanan kiri, ke kanan lurus; masing-masing yang usai menyanyi lagu Negaraku, lagu sekolah dan lagu rasmi negeri Darul Makmur segera duduk. Punggung sudah tetap tapi leher masing-masing melilau. Semacam kapal selam pun ada gayanya. Seketika kemudian, beliau masuk, masuk dengan gaya berkarisma salam dihulur; bermula ucap rasmi pertama lalu diselang-selikan dengan lawak jenaka serta amaran: 7 Perkara yang akan Menyebabkan Anda Digantung/Dibuang. Gerun. Aku pun sudah naik takut. Memang kalau diikutkan 7 perkara tersebut tidak pernah terlintas untuk aku amalkan. Namun, gaya sebagai pengetua itu sudah terpamer saat 7 perkara itu diingatkan.

Nanti!

Saat-saat resah dan gerunkan perasaan dimarah. Tuan Pengetua hadir dengan motivasi ringkas. ''Pencapaian yang luar biasa tidak dapat digapai dengan kerja/jalan yang mudah. Ingat!''  Itu motivasi pertama yang beliau lantunkan. Cukup kena pada telinga yang mendengar ini. Fenomena yang tidak masih lagi takut-takutkan suasana baharu sekeliling perlahan-lahan ia pergi. Pergi! Pergi!

15 Jun 2009, Isnin detik bersejarah buat sekolah, detik bersejarah buat pemilik buku nota biru ini mungkin. Walaupun tidaklah sebesar mana kisahnya, akan tetapi ia tetap ajar aku si pemilik buku 'Ajaib' untuk catat dan catit. Tahukah kamu? Sejak detik itu, aku rajin menggendong buku 'Ajaib' ini. Jikalau Tuan pengetua yang berucap, pasti kami terpegun dengan terbitan sarapan minda pagi. Beliau suapkan kami dengan kata-kata aspirasi, sehinggakan petikan si rendah hati, Sir Admond Hillary, Nelson Mandeela malah hadith junjungan mulia Rasulallah juga beliau senang untuk titipkan.

Buku 'Ajaib' itu? Molek lagi tersusun pesanannya.

''Pemikiran yang kecil membincangkan hal orang; pemikiran yang sederhana membincangkan tentang banyak perkara walaubagaimanapun pemikiran yang hebat adalah dalam kalangan yang gigih memikirkan idea.'' -mantanTuan Pengetua