Pagi tadi satu aku kesalkan. Aku sudah bangkit dan nampak matahari mula hendak menyinarkan terbitan oren dan kuning warna surianya. Aku pandang dan merengkok atas tilam toto. Biru warna toto dan kuat lagi dugaan. Aku bangkit dan berjalan. Bukan ke arah mancari air segar pagi buat berkumur, membasuh muka, tangan, dahi, telinga dan kaki. Kedua belah kaki itu aku hanyunkan pula ke dalam bilik, terbaring lagi.
''Amirah, lama Wan tunggu.''
Ada riak rindu pada air mukanya. Dia si bongkok tiga, 80-an umurnya. Seperti biasa dia lampirnya senyuman manis buat aku. Aku dakap dia, aku cium kedua pipinya. Aku rapatkan tubuhku buatnya sedari bertanya dengan penuh rasa syukur, sayang serta rindu padanya.
''Assamualaikum Wan. Wan apa khabar? Sihatkah?''
Dia angguk dan seperti kelazimannya. Dia cium lagi kedua belah pipiku. Aku balas dan kami kembali tersenyum. Oh, terlupa! Saat pertemuan itu aku lihat dia sebuah hentian, rumah lebih tepat. Hajah Miah bt. Sidek kelihatan menunggu aku sedari awal pagi aku kira.
Sewaktu kami ditemukan itu, aku sendiri lupa akan lokasi yang beliau duduki tapi yang pasti aku nampak persekitarannya hampir mirip di kampung halamanku di Kampung Kemin, Kuala Klawang, Jelebu. Ternampak sudah awal tadi sebelum aku temuinya, Masjid Khariah Kampung Tembun itu. Sayup sayup kemudian aku nampak Hajah Miah duduk atas tangga rumah.
Kami berborak dan Wan tanyakan padaku, ''Mana pergi? Lama Wan tunggu.'' Dia sambung lagi, ''Dah sembahyang?'' Aku tersengih, sebab pagi tadi aku tidak bangun Subuh; gesaan Azan seruan untuk mengadap-Nya aku telah culas. Gagal bangkit. Astagfirullahalazim. Beristighfarlah aku di situ, mengadap wajah nenek.
''Belum.'' Kepala aku dongak perlahan-lahan. Malu dan sebal. Malu pada Yang Maha Esa dan terasa malu saat aku mengaku di hadapan Wan.
''Sembahyang lain kali kena awal waktu!'' Wan mengingatkan aku lagi. Dulu saat pertama setelah dua bulan tak bersua muka selepas talkin itu. Wan pernah ingatkan aku jua. Katanya, ''Orang Islam kena sembahyang, jangan tinggal solat!'' Aku terangguk-angguk saat itu dan wajah yang aku rindu itu kini di hadapanku lagi.
Aku senyum dan berjanji, deras ku angkat Wan. Ku letakkannya atas katil beradu seperti dulu-dulu di rumah lamanya. Bila Wan terasa bosan di katil, akan kami angkatnya atau pimpin tangannya menuju ke balik dapur-turunkannya ke bahagian sofa lama dapur, dia mengadap tingkap lalu melihat hamparan padi lama. Tak terjaga pokok padi itu lagi sebab asalnya kalau dahulu Wanlah yang gigih turun ke sawah dengan anak-anaknya termasuk ibuku, anak paling bongsu, Wan panggil ibu sebagai Izah.
Ataupun paling tak kurang kalau kalau Wan nak merasa belaian angin petang, dia memanggil sesiapa yang terdekat untuk duduk di depan tangga batu di depan rumah papan biru itu. Rumah lebih berapa dekad itu arwah suaminya yang bina. Dia bilang, dulu sewaktu hendak dibinanya rumah, perlahan-lahan arwah Haji Baki bina. Mula-mula angkat kayu, pacak tiang dan satu-persatu dibinanya rumah. Bertukang, memaku hampir semunya dia buat. Kadang-kadang kalau tak cukup kudrat dia panggil orang kampung, semangat gotong-royong cerita Wan lagi.
Aku tersenyum rindu. Dua kali dia pesan. Dua kali saat ini datang. Peringatan dari Yang Atas jua.
12 tengahari kemudian aku bangkit
-----------------------------------
Ya, Allah! 12 tengahari aku bangkit! Arwah datang lagi, dia masih sudi menjenguk aku. Menasihatkan aku.
Dan yang paling penting sedari tamat Asasi aku sudah lama tidak sedekahkan Yasin buat arwah dan bacaan pelindung untuk diri ini. Mengucap aku dalam dalam. Aku lalai dan terleka!
p/s: 4 Julai 2009 arwah Wan meninggal dunia. 3 tahun sudah dia meninggalkan kami dan pagi tadi dia hadir dalam tidurku, menasihatkan aku. Walaupun sekadar mimpi, aku tahu itu juga peringatan buat diri aku yang lalai. Aku rindu wajah itu, aku rindu dakapan itu. Akan tetapi dakapan pagi tadi aku dapat rasakan seolah-olah ianya benar. Dapat aku rasaka kucupan kasih daripada seorang nenek yang aku kasihi.
Al-Fatihah buat arwah Wan.