Selasa, 2 September 2014

Bersalah atau tidak?

Kadang-kadang, aku meluahkan perkara yang ku rasa 'benar'. Dan masa ku anggap ianya benar, ternyata salah! Salah pada sisi manusia biasa. Macam yang emak pernah berpesan, (lebih kurang begini ayatnya)...

''Bercakap mesti berlapik. Jangan digores hati.''

atau yang sebenarnya ayat emak lebih kepada ini..

''Marah macam mana pun jangan ikutkan hati. Itu sudah kelemahan dia...''

Lalu istighfar diulang berkali-kali. Menyesal jangan ditanya lagi. Adu, nangis dan berat sungguh hati. Paling sedih, bila aku ingin bercerita pada ibuku (atau emak lagi selesa bunyinya pada lidahku, sebenarnya) tetapi bila difikir-fikir...

''Masalah aku. Aku yang kena selesaikan. Itulah cakap tak fikir dulu. Keputusan dibuat sebelum kau 'tanya' pada Tuhan! Padan muka kau!''

Akhirnya, aku sentiasa tertanya-tanya, bagaimana kau bilang kau sudah mengenali aku, sayang? Sedangkan aku sendiri masih keliru dengan keputusan dan pendirianku. Bagaimana?

Salahkah aku? 

Rabu, 19 Mac 2014

Rasa

Tuhan hadirkan rasa untuk manusia pilih antara dua perkara;

Pertama: Terus bercanda hingga tak kenal dunia
Kedua: Sambung kisah cinta dengan cara paling mulia

Pilih. Pertimbangkan.

Jumaat, 17 Mei 2013

Yang Memahami.

Untuk yang memahami,
untuk yang faham erti menjarak saat dekat;
yang mengerti berpura pura tidak wujud dalam wujud.

Ya. Ada rasa buat kamu tapi memang itulah caraku.

Isnin, 1 April 2013

Perkara yang sama.

Kepala yang ditunduk-tunduk,
Renungan yang dibaling jauh;
Tawa yang dibuat buat,
''Bodoh!''
Yang dipendam kenapa?

Selasa, 26 Mac 2013

Ada apa pada nama?



Memandang wajah asing, merungut paling dalam. Perut sudah kenyang. Kenyang dengan makanan ciput yang dibayar lebih. Ringgit Malaysia dua perpuluhan lima sifar untuk jagung masin bersaiz cawan. Kecil sahaja berserta tambahan dua puluh sen untuk sesudu pekat manis. Masin dan manis bertemu, melawan deria rasa. Enak? Bolehlah.

Nelson. Sekadar nama namun luar biasa mencekik darahnya. Benci bentak hati. Usai menelan segala dia disapa,

''Dik, kedai di sini mahalkan?"

Ada wajah asing yang menegur. Wajah sahaja asing namun bukanlah bangsanya dan agamanya. Sama sepertiku. Perwatakan, Melayu, lelaki bekerjaya, berusia lingkungan 50-an. Wajah aku yang penuh curiga, namun terjawab juga persoalan yang sama. Sama seperti aku bangkitkan dalam hati, tentang mahalnya harga.
Dia ku pasti, yakin ingin ku tahu kisah mahal yang dia cakna: Mahal antara kita.

"Pak cik beli teh tarik ni..'' lantas dia sua kertas minuman cawannya padaku. Tinggal suku.

Alahai sikitnya! Kecilnya cawan! Hanya itu mampu digumam sendiri. Kasihan!

Sekadar kertas cawan bersaiz sama dengan jagung yang aku beli sebentar tadi. Mana keistimewaannya? Nah! Pada harga dua ringgit lima puluh sen untuk teh tarik itu dan tempelan lakaran bermotif grafik pada si cawan kertas. Sadis.

Mata terbuntang. Ya, segera aku faham. Belum sempat bicara, dia menyambung.

''Pak cik tak tahu harganya mahal...Ini kali pertama pak cik beli di sini.''

Aku pula yang jadi serba salah. Ya, serba salah jua. Mana taknya, dia orang luar yang terpaksa membayar harga mahal pada secawan air hangat pilihan. Jika ada papan tanda, itu dia...gerai-gerai pilihan lain ada menjual dengan harga yang jauh lebih murah dan sedap jua! Kiri dan kanan aku. Seringgit pula. Kisah bersambung.

"Haah, pak cik! Kedai di sini mahal! Kalau yang murah tuhhh gerai di sekitar ni..." Siap beraksi dengan lagak gaya seperti pemandu pelancong mungkin, ku halakan telunjuk jari, pada kiri dan kanan deretan kedai minuman pilihan. Dia tersenyum namun masih punya sugul. Sugul pada wajahnya.

Sebenarnya aku tertarik untuk tanyakan kisah selanjutnya. Apa sebab dia ke mari? Tunggu siapakah?

''Erm, pak cik ke mari tunggu siapa? Anak?'' Terluah soalan pilihan.

''Tak. Pak cik tunggu bos pak cik di sini. Ada kerja..''

Jadi telahan pertama tepat. Dia lelaki bekerjaya namun masih menjaga perihal ekonominya,tentang duit keluar masuk, makan pakai dan belanjawan semasa meski secawan teh tarik hangat. Kalau mahal tetap mahal! Mesti rungut itu hadir. Situasi sama seperti aku. Pada kami, dalam hati...mungkin kata kata ini yang bermain di minda,

Harga bukan pada jenama semata, kualiti kena ada, apatah lagi kuantiti kena selarilah. Tentang kisah air teh tarik.

''Adik asal mana?''

''Kajang, Selangor.''

''Oh, orang sini! Tahun berapa pengajian?''

''Tahun pertama, semester kedua. Degree.''

''Oh bagus! Ambil kursus apa?''

''Pengajian polisi, pak cik..'' Dengan senyuman melebar bisa aku beri, moga gundah dia terubat jua di hati. Tentang kursus pengajian, entah dia tahu atau tidak. Aha. Yang pasti, dia sudah tersenyum senyum, mungkin tanda dia ketahui apa itu bidang polisi. Mungkin.

Perbualan dimatikan bila aku pinta undur diri. Ucapan salam berbalas, lantas benak fikiran melayang perbualan seorang sahabat. Hampir sama situasi. Saat nama dan jenama konon mula dikenali semua, mahal jadi isunya. Dia bilang..

"Dunia semakin kejam, nasi semakin mahal.."

Jadi, ada apa pada nama eh?







Jumaat, 15 Mac 2013

Kejam.


Tiga kata untuk aku,
Kata pertama buat kamu,
Kata kedua bilang si ibu,
Kata terakhir, bisikan hatiku.
Perasanlah aku terlalu memilih kamu sehingga terkeliru beza baik peri laku.
Perasannya aku kerna sering terkeliru bisik kata hatiku.
Kamu pergi kamu;
Jangan pernah permainkan hatiku.

Sabtu, 2 Februari 2013

Teliti.



Dalam fikiran dia teliti itu maknanya mengamati. 

**
Dua tiga hari ini serta selang beberapa hari selepas aku tamat kertas peperiksaan akhir semester pertama, selalu. Selalu aku nampak kelibat kelibat manusia yang berwajah iras dalam kehidupan seharianku.

Malah, ada seketikanya, dalam sehari boleh ku bilang dua hingga tiga orang yang berwajah serupa. Ingin ku tegur, ingin ku sapa tapi ah biar segan di dada asal tak segan penyudah hari.

Kisah dua tiga hari lalu dan seminggu lalu. Tentang jawapan, masih tidak cukup. Tidak cukup jawapan untuk kerunsingan ini. 

Terkadang ada jua aku terfikir, 

''Eh, kenapa dirisaukan hal hal semasa atau diberatkan lencongan minda; semata mata manusia manusia yang tidak dikenal pucuk pangkalnya?''

Dan selalunya;

Yang ditaip direnung sejenak, disemak berkali kali kali,
yang ditutur, mulanya puas merasa habis dihembur;
terkemudian?
kesal bertandang, sudah habis istighfar masih terasa banyaknya dosa; 
kerdil.
yang terlepas, jasad yang konon pantang takkan berundur; 
Oh, mengalah dan mengeluh!
Pengakhirannya?
Ini semua teliti atau terlebih mengamati?

Dan teringat pula aku suatu kisah. Kisah yang bertandang sewaktu telinga dihulur talipon bimbit Nokia versi lama. Berbicara sama kakak. Tertanya tanya, siapa pula akan menjemput anak perempuan nombor tiga dalam enam beradik ini.

''Mak dekat mana? Kita nak cakap kejap.''

"Mak balik kampung, ada makcik depan rumah Wan (arwah) meninggal dunia.''

''Ha? Yang manaa...''

''Yang depan rumah, rumah belah kiri.''

Talipon diletak, minda digasak.

''Ha!''

Kisah makcik ini yang ku kira pernah diceritakan oleh emak sewaktu aku di dapur bersama sama. Kata emak, jangan diikutkan sangat hati. Sebabnya ada kisah tentang insan yang terlalu teliti, teliti dengan sekeliling, teliti dalam banyak perkara. Hinggakan..

**
''Dia duduk keseorangan. Jika tidak silap, saban waktunya gemar diisi mengemas rumah. Rajin itu memang bagus, lagi lagi teliti mana yang patut dikemas, bila masa mengemas tapi..''

''Tapi apanya mak?''

Dibalik jawapan akhir mak, buat aku terkedu jugalah.

''Teliti sampai sabun ada tiga buku di sinki, satu untuk membasuh tangan, satu untuk tugas dijadikan agen pencuci selepas basuh pinggan..''

''Lagi mak?''

''Kalau jatuh satu sabun, buang, ambil sabun baru! Teliti pada kuman!''

**
Kalau sedemikian taksubnya manusia terhadap sekeliling, hingga kuman pun diteliti, sudah aku fikirkan, lebih baik ku teliti akan hal hal yang sepatutnya sahaja. Dan bukan pada segenap perkara harus ku teliti; teliti pada hakiki berbalik pada realiti. Teliti?